ANALISIS KARYA LUKISAN TEMPATAN DAN LUAR NEGARA BERDASARKAN MATLAMAT PEMBANGUNAN LESTARI KEEEMPAT PENDIDIKAN BERKUALITI
3.1
Karya 1 (Tempatan)
Karya
ini dihasilkan oleh Dzulkifli Buyong pada tahun 1967 yang bertajuk “Membakar
Semut”. Beliau menggunakan media kapur pastel untuk menghasilkan karya ini.
Mesej
yang ingin disampaikan ialah kehidupan kanak-kanak di desa yang penuh dengan
kenakalan dan keharmonian. Kanak-kanak pada masa ini menggunakan apa sahaja alat
di sekeliling untuk bermain. Kanak-kanak boleh belajar melalui aktiviti bermain
tanpa mengira umur dan jantina. Karya menggambarkan persekitaran pembelajaran
yang selamat pada masa itu tanpa kekerasan, inklusif dan berkesan selari dengan
matlamat pendidikan pembangunan lestari. Dalam karya ini, kanak-kanak desa
memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan melalui persekitaran yang
ada pada masa itu. Kebebasan kehidupan di desa adalah gaya hidup lestari dan
kesetaraan jantina dapat digambarkan dalam karya ini melalui figura seorang
perempuan dan dua orang lelaki. Karya ini boleh dijadikan sebagai budaya
kanak-kanak masyarakat Melayu di desa untuk dihayati pada hari ini sebagai
pembangunan lestari. Pembelajaran dari persekitaran bersama rakan
sebaya dapat dikelaskan sebagai pendidikan tidak formal. Pembelajaran tidak
formal membantu kanak-kanak berkembang dan menyesuaikan diri dengan cara dan
tradisi masyarakat, dan mereka belajar menyesuaikan diri dengan alam sekitar
dengan cara yang lebih baik.
3.2
Karya 2 (Tempatan)
Karya
ini dihasilkan oleh Dzulkifli Buyong pada tahun 1963 yang bertajuk “Tabung”.
Beliau menggunakan media kapur pastel untuk menghasilkan karya ini.
Pengkarya
ingin menceritakan tentang kesengsaraan suami isteri dalam usaha mengeluarkan
isi tabung dalam persekitaran rumah yang kosong. Beliau menggambarkan
pentingnya simpanan diwaktu kesusahan. Karya ini mengimbau nostalgia yang amat
sinonim dengan budaya masyarakat dahulu yang tidak mempunyai atau sukar
mendapatkan kemudahan perkhidmatan simpanan. Namun, masyarakat terdahulu sedar
tentang kepentingan menyimpan. Masyarakat dulu telah dididik untuk menabung.
Amalan menabung bermula dari rumah sejak kecil lagi.
Berkait
matlamat keempat iaitu pendidikan berkualiti, untuk mendapatkan pendidikan yang
berkualiti harus ada perubahan dalam sosioekonomi sesebuah keluarga. Ibu bapa
perlu memainkan peranan dalam membudayakan sikap suka menabung kepada anak-anak
lebih-lebih lagi menabung untuk pendidikan. Ketiadaan pelan penabungan yang
baik kepada pendidikan anak masing-masing boleh menyebabkan mereka mungkin
berdepan keciciran pelajaran dan menghalang mereka menyambung pengajian lebih
tinggi. Hanya dengan pendidikan dapat mengubah kualiti kehidupan. Budaya
menabung harus dipraktikkan oleh semua keluarga bagi memenuhi matlamat
pendidikan berkualiti dalam pembangunan lestari yang menekankan lelaki dan
perempuan dewasa memperolehi pendidikan yang lebih tinggi. Pada zaman yang
serba canggih dengan kepesatan kemajuan sains dan teknologi ini kita perlu
mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi agar dapat bersaing di pentas global.
Hal ini demikian kerana, melalui amalan menabung, kita dapat menggunakan wang
tersebut untuk membiayai kos pendidikan dan mengelakkan sikap kebergantungan
kepada pinjaman semata-mata.
3.3
Karya 3 (Tempatan)
Karya
ini dihasilkan oleh Ahmad Ruhaimi Abu Bakar yang bertajuk “Kita Serupa”. Beliau
menggunakan media kapur pastel untuk menghasilkan karya ini.
Dalam
karya ini mengetengahkan kehidupan kanak-kanak yang tidak bebas, terkongkong
dan kesepian.Kehidupan kanak-kanak adalah bermain dan meneroka di mana melalui
penerokaan dan bermain kanak-kanak akan memperoleh ilmu. Semua kanak-kanak
tidak kira lelaki atau perempuan berhak mendapatkan ilmu sama rata itu tanpa
kekerasan, inklusif dan berkesan selari dengan matlamat pendidikan pembangunan
lestari. Ibu bapa tidak boleh menghalang kanak-kanak keluar bermain dan hidup
dalam keadaan bersendirian tanpa bersosial. Kanak-kanak berumur 4-6 tahun perlu
dihantar ke tadika mengikut kesesuaian perkembangan untuk kemahiran asas yang
kukuh. Pendidikan penting untuk kanak-kanak supaya potensi kanak-kanak dapat
dibangunkan agar mereka berkembang secara holistik serta dilengkapi dengan
kebolehan, ilmu dan kemahiran selaras dengan matlamat pendidikan berkualiti.
Hanya dengan pendidikan dapat mengubah kehidupan seseorang kanak-kanak itu.
3.4
Karya 4 (Luar negara)
Karya
ini dihasilkan oleh Albert Anker yang bertajuk “Village School”. Penggunaan media cat minyak di atas kanvas dengan
menerapkan pelbagai teknik cat minyak dalam karyanya.
Gambar ini memaparkan suasana pembelajaran di sebuah sekolah di kampung yang sesak dengan jumlah murid yang ramai dan penggunaan ruang yang sempit dan daif. Melalui pendidikan untuk pembangunan lestari, perjuangan hak asasi manusia dalam mendapatkan pendidikan perlu diutamakan di mana pendidikan adalah hak asasi setiap individu tidak mengira latar belakang, ekonomi dan tahap pemikirannya. Kanak-kanak perlu mendapatkan kesamarataan akses dalam pendidikan dalam memacu sesebuah negara dan paling utama ianya adalah hak terhadap kemanusiaan itu sendiri. Karya ini menekankan pendidikan penting untuk semua kanak-kanak tidak mengira jantina, kaum dan status. Melalui matlamat pendidikan berkualiti juga, peningkatan bilangan guru yang berkelayakan perlu ditambahbaik bagi mengelakkan kanak-kanak tercicir dalam pembelajaran. Kanak-kanak memerlukan suasana pembelajaran yang kondusif dan berfokus bagi melahirkan individu yang celik huruf dan angka.
3.5
Karya 5 (Luar negara)
Lukisan karya Basuki Abdullah ini berjudul
“Ibu dan Anak”. Karya ini di
buat pada tahun 1992
dengan menggunakan media
cat minyak pada kanvas.
Karya
ini menggambarkan seorang ibu yang sedang
menggendong anaknya yang
secara simbolik melambangkan
kasih sayang dan perjuangan seorang ibu terhadap anaknya. Seorang ibu
tidak pernah luntur kasih sayang terhadap anak-anaknya. Peranan ibu sangat
besar dalam mendidik anak-anak sedari kecil lagi. Peribahasa juga mengatakan ”Melentur
buluh biarlah dari rebungnya”.
Seorang ibu akan memastikan anak-anak dididik dengan kasih sayang dan keharmonian supaya membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga dimana perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan keluarga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap “rumahku syurgaku”. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada sebarang tekanan. Ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak sempurna melalui alam persekolahan dan menerima pendidikan sewajarnya selaras dengan matlamat pendidikan berkualiti yang menggalakkan budaya keamanan dalam keluarga untuk pembangunan lestari.
3.6
Karya 6 (Luar negara)
Karya
ini dihasilkan oleh Albert Anker yang bertajuk “Elderly Women Reading The
Bible” pada tahun 1904. Beliau menggunakan media cat minyak di atas kanvas.
Karya
ini menggambarkan figura seorang
wanita tua yang sedang duduk di meja sambil membaca kitab. Diusia sebegini
wanita ini masih mengamalkan amalan membaca dan menuntut ilmu.Pendidikan perlu
dipupuk bermula sejak kecil lagi.Memberi penumpuan kepada Matlamat Pendidikan
Berkualiti iaitu memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama dan menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang
hayat kepada semua dan memastikan golongan dewasa menguasai kemahiran literasi
dan numerasi.Pengkarya mengetengahkan proses pembelajaran dalam pencarian ilmu pengetahuan boleh dilakukan
sepanjang masa dan tidak kira usia dan tempat. Melalui proses pembelajaran, dapat
membangunkan potensi manusia secara berterusan dan memberi motivasi kepada
manusia dalam menguasai ilmu, menerapi nilai murni dalam diri yang diperlukan
sepanjang hayat dan meluaskan pengalaman dalam kehidupan supaya individu dapat
memikul tanggungjawab dalam menghadapi segala cabaran hidup untuk memajukan
bangsa dan negara. Pembelajaran yang tidak mengenal usia dijalankan untuk
menambah baik kualiti hidup seseorang individu bak kata pepatah “belajar adalah
proses yang tidak pernah berakhir” selaras dengan pendidikan berkualiti untuk
pembangunan lestari.
Comments
Post a Comment